Puisi Kahlil Gibran - Persahabatan


"Persahabatan"

Dan seorang remaja berkata, Bicaralah pada kami tentang Persahabatan.

Dan dia menjawab:
Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.

Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh 
rasa terima kasih.

Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.
Kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu 
kedamaian.

Bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata 
‚Tidak‛ di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata ‚Ya‛.

Dan bilamana dia diam,hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa 
ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan 
dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan.

Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita;

Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas 
dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih 
agung daripada tanah ngarai dataran.
Dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh 
kejiwaan.

Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya, bukanlah 
cinta , tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada 
diharapkan.

Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.

Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim 
pasangmu.

Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar 
bersama dalam membunuh waktu?

Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!

Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.

Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi 
kegembiraan..

Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan 
ghairah segar kehidupan.

~ Khalil Gibran